Tuesday, April 5, 2011

AADK anjur kempen Kick Drugs Out
Oleh Suhana Roslan
suhanaroslan@bharian.com.my
2010/06/19
Program bertujuan beri kesedaran pada masyarakat mengenai bahaya dadah

PETALING JAYA: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan melancarkan Program Kick Drugs Out! (KDO) sempena Sambutan Hari AADK Antarabangsa (HADA) yang akan diadakan di pekarangan pasar raya Mydin USJ, Subang Jaya di sini, pada 26 Jun ini.
Penolong Pengarah AADK Selangor, Zulkarnain Mohamad, berkata tujuan program terbabit adalah untuk memberi peringatan dan kesedaran kepada masyarakat secara berterusan berhubung masalah penyalahgunaan dadah yang semakin serius di negara ini.
“Program berkenaan akan menumpukan kepada usaha menyedar dan menggerakkan masyarakat dengan kempen pencegahan dadah.

“Kita yakin impak daripada penganjuran program ini orang ramai akan mula mengutamakan aspek kesihatan, mengamalkan gaya hidup sihat dan mengelakkan penggunaan rokok atau menyalahgunakan ubat-ubatan, sekali gus akan menjauhi dadah,” katanya pada sidang media mengenai Program KDO di sini, semalam.

Hadir sama, Penolong Pengarah (Penguatkuasaan dan Keselamatan), Nani Sikin dan Penolong Pegawai AADK Petaling Jaya, Rozeelia A Wahid.

Zulkarnain berkata, lebih 20 syarikat swasta dan badan bukan kerajaan NGO bermurah hati untuk menaja program yang julung kali diadakan ini termasuk Mydin USJ, Bank Rakyat dan Yeo Hiap Seng (YEOS), Pizza Pinos, Amtex Shoes dan Hikers Climber Adventured Team.
“KDO juga akan menyediakan pelbagai aktiviti sihat dan menarik untuk pengunjung termasuk pelbagai acara sukan seperti Explorace, Paint Ball, Mobile Wall Climbing, Pertandingan Jig Saw Puzzle, Kuiz Terbuka, Permainan Dam Ular dan Gubahan Mawadah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkarnain berkata sikap orang ramai yang menjadi mata dan telinga AADK dalam usaha memerangi dadah semakin meningkat apabila pihaknya menerima lebih 40 aduan mengenai penyalahgunaan dadah dalam tempoh enam bulan sepanjang tahun ini berbanding hanya kurang 10 aduan tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius aduan mengenai penyalahgunaan dadah berikutan semua aduan yang diterima sama ada menerusi panggilan telefon, surat atau e-mel itu akan disiasat pada kadar segera dan pihaknya cuba menyelesaikan aduan berkenaan dalam masa kurang 24 jam.

No comments:

Post a Comment