Realiti Kehidupan

Kisah tiga generasi penagih dadah

Mereka menjalani kehidupan sama seperti orang lain. Bangun pagi, pergi kerja, balik kerja. Tetapi golongan ini sebenarnya ada agenda rahsia di sebalik rutin yang kelihatan seperti normal pada pandangan masyarakat itu.
Golongan ini adalah penagih pelbagai jenis dadah yang terdiri di kalangan semua peringkat masyarakat. Murid dan pelajar sekolah, penuntut universiti, budak penghantar barang, kakitangan kerajaan, pekerja makmal, pengurus bank malah pegawai polis.

Hobi masa lapang

Azman, 48, (bukan nama sebenar) mula menagih dadah jenis ganja pada usia 19 tahun tetapi tiga tahun kemudian bertukar kepada dadah lebih berat, heroin tiga.

“Ketika itu saya bekerja sebagai budak penghantar surat di bank dan menghisap dadah sekadar suka-suka atas pengaruh rakan sebaya.

“Pada mulanya, saya mengambil heroin pada masa lapang, lepas kerja tetapi lama kelamaan saya jadi ketagih dan khayal pada bila-bila masa,” katanya yang menanggung ketagihan dadah selama lebih 28 tahun.

Menurutnya, dia menyembunyikan derita ketagihan daripada pengetahuan keluarga meskipun tinggal sebumbung dengan mereka sehinggalah saudaranya mengesyaki dia terjebak dengan dadah.

Akhirnya, dia dihantar menjalani rawatan di hospital dan ketika itu Azman bergelut dengan kesakitan akibat rasa gian teramat sangat sehingga tubuhnya langsung tidak merasai kesan ubat.

Bagaimanapun rawatan demi rawatan tidak berjaya menghalang Azman daripada terus mencari najis dadah itu sehingga ke bawah jambatan, lorong gelap dan kawasan hitam seperti Lorong Haji Taib yang digelar Shooting Gallery oleh penagih heroin tegar.

Sehinggalah, adiknya membawa Azman ke Rumah Pengasih yang menawarkan kaedah rawatan TC khusus untuk memulihkan penagih dadah tegar.

Hari ini, Azman berjaya pulih sepenuhnya daripada gejala ketagihan.
Kekecewaan anak sulung

Lain pula halnya dengan Malik, 20 (bukan nama sebenar) yang tidak mempunyai sejarah penagihan panjang. Sebaliknya, baru empat hari ‘belajar’ menghidu gam, bapanya mendapat tahu lalu menghantar remaja itu ke Rumah Pengasih, kira-kira tiga bulan lepas.

“Saya juga mengambil pil ubat batuk, Nospan, yang menjadi pilihan ramai budak-budak untuk khayal selain (hidu) gam kerana murah dan mudah diperoleh.

“Atas rasa kecewa dan benci pada bapa kerana tidak mengendahkan saya, ibu dan adik-adik selepas berkahwin lain, saya menelan 15 biji pil Nospan sehari untuk menyembunyikan perasaan itu,” katanya.

Anak sulung daripada tujuh adik- beradik ini puas bergelumang rasa kecewa atas kegagalan membanggakan bapanya terutama dari segi akademik.

Keputusan peperiksaan saban tahun pula semakin menghampakan apabila dia mendapat semua E dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pun begitu, Malik menyimpan hasrat untuk mengikuti kursus kemahiran di Pusat GiatMara apabila tamat tempoh pemulihannya di Rumah Pengasih tidak lama lagi.

Lapan kali OD

Sohaimi Ahmad, 51, juga merupakan Pengurus Program Rumah Pengasih dan perjalanan hidupnya kini menemui arah baru setelah tergerak hati untuk menjalani pemulihan pada 16 Mei 1995.

Derita penagihan dadahnya selama 22 tahun bermula sekitar 1970-an, sewaktu Sohaimi bekerja sebagai budak pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ironinya, pada tahun 1980, dia memasuki Pusat Latihan Ulu Kinta, Perak dan kemudiannya berjaya menjadi anggota polis sebelum dibuang kerja selepas ‘aktiviti sampingannya’ diketahui pihak atasan.

“Saya pernah mengambil dadah berlebihan (over dose atau OD) sebanyak lapan kali, keluar masuk penjara dan Pusat Serenti kerana asyik ditahan ketika khayal, mana sempat lari.

“Selepas saya memasuki Rumah Pengasih, barulah saya sedar dosa terhadap diri dan keluarga terutama bapa.

“Saya pernah mencuri duitnya, berdendam dan akhir sekali meninggikan suara padanya pada pagi dia meninggal dunia akibat serangan jantung,” ujarnya.

Kini, Sohaimi bukan sahaja membantu memberikan sokongan moral, terapi dan kaunseling kepada residen Rumah Pengasih.

Malah, beliau dipertanggung jawab membangunkan program (komuniti terapeutik) TC yang merupakan antara pendekatan alternatif paling efektif untuk memulihkan penagih tegar.